Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berkata beliau akan mengundurkan diri daripada dunia politik selepas menduduki tangga ke-3 di dalam pemilihan pusingan pertama parti Republikan pada Ahad lepas.
Di dalam pemilihan itu, Sarkozy berada di tempat ketiga selepas dikalahkan oleh Francois Fillon, yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri ketika pentadbirannya, dengan tokoh veteran, Alain Juppe di tempat kedua.
Keputusan mengejutkan itu meletakkan Fillon dalam keadaan selesa untuk pusingan kedua Ahad ini yang dijangka akan menentukan pemimpin Perancis seterusnya.
Keputusan pemilihan yang berlangsung pada hari Ahad itu menunjukkan bahawa Fillon, memperoleh lebih 44 peratus undian berbanding 28 peratus yang diperolehi Juppe. Calon yang mendapat tempat kedua itu pernah menjawat jawatan Perdana Menteri dan juga Menteri Luar negara tersebut.
Harapan Sarkozy untuk menjadi presiden sekali lagi terhapus apabila cuma mendapat 21 peratus undian, menurut keputusan yang hampir selesai. Seramai 3.2 juta pengundi dilaporkan telah membuang undi mereka di dalam pemilihan itu.
Setelah itu, Sarkozy segera menyatakan sokongan beliau kepada Fillon.
"Pandangan politik Francois Fillon lebih dekat dengan (pandangan) saya... Jadi saya akan memilih beliau pada pusingan kedua nanti," kata beliau.
Pemenang pada pemilihan pusingan kedua dijangka akan berhadapan dengan Marine Le Pen di dalam pilihan raya presiden pada musim bunga 2017.